IQNA

Lebih separuh maahad tahfiz di Perak hanya mampu bertahan 3 bulan

15:44 - August 25, 2021
Berita ID: 3100037
TEHRAN(IQNA):Lebih separuh maahad tahfiz di negeri ini hanya mampu bertahan tiga bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di seluruh negara sejak Mei lalu.

Lebih separuh maahad tahfiz di Perak hanya mampu bertahan 3 bulanPengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP), Mohd Azlan Suhaimi, berkata jumlah itu diperoleh daripada kaji selidik menerusi 'google form' pada 28 Mei lalu.

Beliau berkata daripada 102 maahad tahfiz yang menyertai kaji selidik, 60 maahad tahfiz hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja.

"Selebihnya masih mampu bertahan sekitar empat hingga enam bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Azlan berkata, seperti sedia maklum Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini mengeluarkan surat penangguhan operasi maahad tahfiz berkuat kuasa serta merta pada 31 Mei lalu.

Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan 2,500 pelajar keciciran dan 300 guru hilang pekerjaan.

 

Menurutnya, pembelajaran dalam talian tidak memberi peratus yang tinggi dalam mengekalkan kualiti hafazan, malah pelajar yang tercicir melebihi 50 peratus.

"Justeru itu, kita sangat bimbang dengan kelangsungan maahad tahfiz swasta di Perak pada waktu ini, juga dengan perkhabaran bahawa ada maahad tahfiz bercadang untuk menutup operasi.

"Kami memohon pertimbangan pembukaan semula maahad tahfiz mulai 1 September ini dalam tempoh PPN Fasa Dua," katanya.

Beliau berkata, PEMATAP juga memohon kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan ini sama ada tindakan sewajarnya termasuk bantuan kewangan secara 'one off'.

"Walaupun maahad tahfiz milik persendirian atau swasta, kami juga adalah sebahagian daripada kerajaan negeri kerana semua aset iaitu tanah dan bangunan sudah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bernilai ratusan juta ringgit," katanya.

bharian.com.my

captcha